HARI TERAKHIR BULAN RAMADHAN 1443 H

Satu Hadis Satu Hari

https://youtu.be/VnMr2qhRpIc

Ramadan telah berada di penghujung. Semoga setiap kita diberi kekuatan membuat “finishing” yang terbaik. Jika kita peserta larian 400 meter, kita sedang berada di 100 meter terakhir. Pecutan akhir ini perlu dilakukan sedaya mungkin bagi menentukan kedudukan kita berjaya ditempat pertama atau sebaliknya….

Kata ulama;

العبرة بكمال النهايات لا بنقص البدايات

“Yang menjadi ukuran itu adalah akhir yang sempurna, bukan permulaan yang penuh kekurangan.”

Sesuai dengan hadis Rasulullah SAW

وَإِنَّمَا الأعْمَالُ بِالْخَوَاتِيمِ

“Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada pengakhirannya (penghujungnya)” (HR. Bukhari No: 6607).

Hasan al-Basri rahimahullah berkata: Perbaikilah hari-hari yang tersisa ini semoga Allah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu.

Gunakanlah kesempatan hari-hari berbaki Ramadan ini sebaik mungkin kerana kita tidak tahu bilakah rahmat Allah itu datang untuk kita. Boleh jadi di hari-hari terakhir Ramadan ini. Begitu juga Lailatul Qadar, barang kali malam ini atau mungkin juga esok atau seterusnya?

Marilah kita bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan hari-hari berbaki Ramadan kita pada tahun ini.

اللَّـهُـمَّ اخْـتِـمْ لَـنَا رَمَـضَانَ بِالْغُـفْـرَانِ وَالْعِـتْـقِ مِنَ النِّـيرَانِ

Ya Allah, tutuplah Ramadan kami ini dengan keampunan dan pembebasan dari siksaan api neraka.

Amalan Di Hari Raya

عَنْ حَفْصَةَ عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ

Daripada Hafshah RA daripada Ummu Athiyyah berkata, “Pada hari Raya Aidil kami diperintahkan untuk keluar sehingga kami mengajak anak-anak gadis dari biliknya dan juga para wanita yang sedang haid. Mereka duduk di belakang barisan laki-laki dan mengucapkan takbir mengikuti takbir laki-laki, dan berdoa mengikuti doanya laki-laki dengan mengharap barakah dan kesucian hari raya tersebut.” (Sahih Bukhari No: 298) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

  1. Hari Raya Eid Fitri perlu disambut dengan kegembiraan bersama seluruh isi keluarga
  2. Antara amalan yang diperintahkan oleh Rasulullah kepada para sahabat pada pagi hari raya ialah bersama anak isteri (walaupun dalam haid) untuk sama-sama berada di tempat perhimpunan untuk sama-sama bertakbir dan berdoa mengharapkan keberkatan pada hari yang sepatutnya kita berada dalam keadaan fitrah, bersih daripada dosa. Setiap lelaki dan wanita Islam diperintahkan bertakbir dan turut sama berdoa.
  3. Antara amalan lain Rasulullah di pagi hari raya

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى يَوْمَ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلَا بَعْدَهَا ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ وَمَعَهُ بِلَالٌ فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ فَجَعَلْنَ يُلْقِينَ تُلْقِي الْمَرْأَةُ خُرْصَهَا وَسِخَابَهَا

Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW melaksanakan solat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat dan tidak solat sebelum atau sesudahnya. Kemudian baginda mendatangi para wanita dan memerintahkan mereka untuk bersedekah. Maka para wanita memberikan sedekah hingga ada seorang wanita yang memberikan anting dan kalungnya.” (Sahih Bukhari No: 921). Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

  1. Saling bersedekah sebagai tanda keperihatinan terhadap orang yang kurang berada terutama ketika kita bergembira dengan pelbagai juadah raya. Teruskan sumbangan kita walaupun sebaik-sebaik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan. Dengan sedekah yang diberi akan menggembirakan orang lain. Termasuklah pemberian duit raya kepada orang yang lemah serta kanak-kanak.

01 Mei 2022
29 Ramadan 1443 H

Beranda Menyongsong Massa

http://youtube.com/user/mawarempat


Komentar

Tinggalkan komentar

Rancang situs seperti ini dengan WordPress.com
Mulai